Sunday, 17 April 2016

Pelaksanaan Elemen Sastera Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Seni Bahasa Kurikulum Standard Sekolah Rendah



Tajuk jurnal Pelaksanaan Elemen Sastera Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Seni Bahasa Kurikulum Standard Sekolah Rendah dipilih sebagai bahan rumusan. Jurnal ini merupakan sumber Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu di tulis oleh Abdul Rasid Jamin dan Shamsudin Otham Universiti Putra Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2011.
            Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) merupakan tumpuan pada empat kemahiran iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul dalam usaha memperkasa pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu. Bagi menjadikan mata pelajaran ini kian menarik dan berdaya saing, maka kurikulum Bahasa Melayu yang terdiri suatu elemen baharu telah diperkenalkan dalam kurikulum harian sukatan pelajaran Bahasa Melayu KSSR, iaitu seni bahasa, sementara “didik hibur” menjadi salah satu pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran. Seni bahasa merujuk kepada keupayaan murid bagi memahami, mengungkap dan menghargai bahasa yang indah melalui pembelajaran yang menyeronokkan secara didikan hiburan.
            Terdapat beberapa objektif dalam aspek bahasa bertujuan memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan :
-          menyebut dan memahami puisi melalui nyanyian dengan gerak laku secara didik hibur
-          mengujarkan ayat menggunakan bahasa yang indah dengan sebutan jelas dan intonasi yang betul serta menggunakan bahasa badan secara kreatif melalui penceritaan secara didik hibur
-          mengujarkan dialog dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul tentang sesuatu perkara menggunakan bahasa badan secara kreatif melalui lakonan secara didik hibur
-          melafazkan pantun dengan intonasi yang betul di samping memahami maksud pantun
Metodologi kajian dijalankan merupakan kajian berbentuk kuantitatif deskriptif dengan menggunakan borang soal selidik bagi mendapatkan maklum balas daripada responden. Hal ini demikian kerana soal selidik digunakan untuk peroleh maklumat berkenaan fakta, kepercayaan, perasaan, kehendak seterusnya memberi penerangan yang sistematik mengenai fakta dan ciri sesuatu populasi secara fakta dan tepat (Sidek Mohd. Noah, 2002). Sekolah yang telah dipilih Kementerian untuk dijadikan sampel bermatlamat mengumpulkan maklumat mengenai pemboleh ubah berkaitan fenomena tanpa menyoal mengapa pemboleh ubah tersebut wujud. Data soal selidik dibahagikan kepada empat bahagian iaitu bahagian A latar belakang sampel kajian ( guru Bahasa Melayu) seperti lokasi sekolah, jantina, kaum, umur, kelulusan akademik dan pengkhususan. Hal ini bertujuan untuk memerihalkan latar belakang responden. Bahagian B pula melihat tahap kefahaman terhadap huraian sukatan aspek seni bahasa dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia terhadap murid sekolah rendah. Seterusnya bahagian C bagi mengenal pasti penggunaan teks dan bahan bantu mengajar dalam seni bahasa dan bahagian D memperlihatkan tahap bacaan murid terhadap elemen sastera. Hal ini demikian kerana penggunaan borang soal selidik berupaya memperoleh maklumat dengan tepat dan jelas.
Seterusnya, proses pengumpulan dan penganalisisan data dilakukan untuk memiliki sumber maklumat yang lebih tepat. Penggunaan perisian Statistical Package for Sosial Science (SPSS) merupakan kaedah analisis dan statistik deskriptif bermatlamat untuk memperihalkan data dengan jelas dan efektif. Seterusnya dapatan analisis kajian dipaparkan dalam bentuk berjadual serta dibincangkan mengikut item yang berpandukan objektif dan pemboleh ubah yang ditetapkan. Kaedah sedemikian digunakan kerana mampu memperoleh sesuatu keputusan yang lebih tepat apabila menggunakan objektif dan pemboleh ubah yang telah ditetapkan.
Statistik kajian merupakan peringkat yang akan menghuraikan analisis dapatan kajian ini. Kaedah ini  menggunakan pemarkahan dalam skala Likert 4 point iaitu sangat setuju (4), setuju (3), tidak setuju (2), dan sangat tidak setuju (1) terhadap setiap item yang dikemukakan. Hal ini demikian kerana Skala Likert dibentuk berasaskan andaian bahawa keseluruhan markah gerak balas terhadap butir-butir yang di gambarkan sikap tertentu dikaji memberikan pengukuran berasaskan mengenai sikap tersebut. Kajian ini juga memperoleh data melalui peratusan, min dan sisihan piawaian. Dengan cara sedemikian, sesuatu keputusan yang diperoleh lebih kukuh dan tepat.
Tambahan pula, penggunaan konsep seni bahasa sebagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran. Pengelasan konsep “seni” dan “bahasa” membawa maksud yang sangat mendalam iaitu “seni” merujuk kepada bentuk teks penuh dengan nilai keindahan dan boleh disampaikan dalam bentuk yang menyeronokkan manakala “bahasa” merujuk elemen yang terdapat dalam bentuk nahu atau tatabahasa. Penggunaan konsep nilai bahasa sendiri mampu berdiri dengan pengisian yang sangat sarat dengan nilai bahasa sastera. Buktinya, penggunaan unsur alam dalam sajak, pantun, syair dan sebagainya dapat menimbulkan suasana yang harmoni dan menarik dalam pengajaran dan pembelajaran. Keadaan sedemikian lebih bekesan dengan memberikan fokus kepada aktiviti genre berbentuk puisi seperti lirik lagu, pantun, syair . Penerapan yang dititikberatkan dalam pendekatan ini adalah melalui proses menyerapkan pelbagai bidang ilmu, nilai murni dan kemahiran bernilai tambah yang dipelajari semasa dalam pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Dalam jurnal ini, dapatan kajian telah diperoleh setelah kajian dijalankan. Kajian ini menggunakan statistik deskriptif bagi mempamerkan kekerapan dan min responden terhadap setiap item soal selidik. Pertama, hasil dapatan mengikut skor min secara keseluruhan bagi semua murid. Secara puratanya, nilai skor min paling tinggi ialah para guru mengakui penggunaan bahasa sastera dalam pembelajaran dan pengajaran seni bahasa sastera membawa manfaat penting kepada guru mahupun murid. Seterusnya, skor min kedua tertinggi ialah guru memahami konsep terhadap huraian sukatan pelajaran seni bahasa dan pendapat guru mengatakan tahap pembacaan murid terhadap elemen sastera berlaku peningkatan dan akhir sekali penggunaan teks dan bahan mengajar dalam Pengajaran dan pembelajaran seni bahasa sastera meningkat. Ini jelas menunjukkan seni bahasa merupakan satu pola kurikulum baharu dan dapat meningkatkan mutu atau tahap pemahaman murid.
            seterusnya, dapatan kajian dapat dilihat daripada tahap pembacaan murid terhadap element sastera. Dalam kajian ini, guru menggunakan teknik didik hibur. Hal ini telah membuktikan bahawa matlamat pengajaran melalui nyanyian, berpantun, bersketsa mampu membuatkan murid menyebut dan memahami unsur seni bahasa dalam lagu adalah tinggi. Secara tidak langsung elemen sastera dapat meningkatkan penguasaan bacaan murid secara mekanis.  Namun begitu, penerapan elemen seni bahasa juga dengan tujuan dan sasaran betul telah dapat melahirkan murid agar dapat melafazkan dan memahami puisi dengan intonasi yang betul menggunakan bahasa indah serta sedap didengar. Ini jelas menunjukkan keberkesanannya kepada pelajar setelah murid menggunakan kaedah sedemikian.
            Tambahan pula, manfaat pelaksanaan elemen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran seni bahasa terhadap murid jelas menunjukkan kemajuan dan prestasi murid berdasarkan pemerhatian yang dilaksanakan. Hal ini demikian kerana guru telah menggunakan kaedah faktor x dalam pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat murid dalam mendalami seni bahasa yang unik. Selain itu, dalam pemerhatian guru juga, peningkatan dalam kalangan murid dalam kemahiran membaca, menulis dan menaakul jauh lebih baik dan guru bersetuju bahawa kecekapan pedagogi murid semakin meningkat setelah pelaksanaan seni bahasa seperti disasarkan oleh sukatan KSSR.
            Seterusnya, pandangan guru juga merupakan dapat kajian yang dikaji dalam pelaksanaan seni bahasa dalam sistem KSSR. Para guru telah memberikan pandangan yang positif dan menyokong pelaksanaan ini. Secara tidak langsung, para guru dapat memberikan tumpuan dan suasana pembelajaran lebih kondusif dan lebih menarik. Selain itu, kaedah seni bahasa dengan pelaksanaan “didik hibur” merupakan faktor kejayaan guru kerana penerimaan yang baik oleh murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana guru telah berjaya membantu murid meningkatkan penguasaan kemahiran 3M. Dengan cara sedemikian, kesimpulan ini dapat dirumuskan daripada pendekatan seni bahasa iaitu guru melaksanakan pendekatan bersifat santai, kelakar, seronok dan gembira, semangat mencuba serta tidak takut dan kurang stres. Hal ini jelas menunjukkan kesan positif dengan menggunakan pendekatan sedemikian terhadap murid dalam pengajaran dan pembelajaran.









Rumusan
            Segala keseluruhan, seni bahasa yang digunakan dalam KSSR sangat berkesan dan sesuai dilaksanakan dan digunakan dalam kalangan guru. Hal ini demikian kerana seni bahasa dikenali sebagai alat pembelajaran yang efektif dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) murid bagi menggantikan kepada modul kurikulum KBSR. Selain itu, penggunaan seni bahasa sastera jelas menunjukkan peningkatan kecemerlangan murid dengan menggunakan kemahiran dalam aspek membaca, menulis, keupayaan lisan serta menaakul juga bertambah baik. Menurut Marohaini Yusof (1999). pelaksanaan element sastera dalam pengajaran dan pembelajaran seni bahasa jelas bersifat sebagai satu pendekatan didikan hiburan dengan pedagogi. Hal ini demikian merupakan saranan murni sebagai usaha untuk memperkayakan strategi dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran guru di sekolah. Seterusnya, guru berperanan sebagai teladan kepada murid yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek manakala murid berperanan untuk mewarisi ciri kreativiti dimiliki guru sebagai Role Model mereka. Keadaan pembelajaran lebih menyeronokkan dengan kandungan yang menarik malah guru dan murid telah berganding bahu mencipta dan menjadikan sesuatu suasana yang harmoni di dalam bilik belajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment